Ahli :-
Persatuan Usahawan Cendawan Melayu Kelantan (GU CENDAWAN)
Koperasi Usahawan Cendawan Kelantan Berhad (COOP KULAC)

Saturday, August 23, 2008

Nabil Tekad Tanam Cendawan

"Bukan senang hendak tanam cendawan,'' demikian kata-kata yang terpacul dari mulut Nabil Sanusi, sebaik ditanya apakah beliau seronok dan tidak menyesal menceburi industri penanaman cendawan yang kini semakin popular itu.Kata-kata tersebut seakan satu 'pukulan balas' kepada mereka yang beria-ia ingin menceburi pertanian khususnya tanaman cendawan kerana membayangkan setiap helaian daun tanaman tersebut sebagai wang ringgit.

Kepada Nabil, membayangkan sesuatu yang menguntungkan boleh menjadi pendorong dalam setiap perkara yang diusahakan tetapi dengan syarat, perlu mengusai ilmu yang berkaitan untuk menjamin kejayaan.

Nabil, 37, yang kini terlibat dalam industri automotif pada mulanya hanya ingin mempelbagaikan sumber ekonominya dan memilih cendawan tiram kelabu untuk diusahakan.

Pada 2005, beliau ditawarkan mengusahakan tanaman orkid di Johor oleh Persatuan Penanam Orkid tetapi atas faktor tertentu dan lokasi yang agak jauh, Nabil menolak tawaran tersebut.

Namun tekadnya untuk mengusahakan sesuatu yang menguntungkan tidak pernah padam malah, sering terfikir melakukan sesuatu yang terbaik untuk masa depan.

Takdir telah menentukan beliau menceburi perusahaan tanaman cendawan apabila dipertemukan dengan seorang rakan di Nilai, Negeri Sembilan yang telah mengusahakan tanaman tersebut terlebih dahulu.

Beliau yang disarankan untuk mencuba bidang tersebut tidak menunggu lama, dan dengan sokongan keluarganya, Nabil mengambil keputusan untuk terlibat secara serius.

Nabil tidak perlu menunggu lama, sama ada kerana terpaksa menubuhkan syarikat atau membuat pinjaman terlebih dahulu, tetapi seperti kebanyakan usahawan pertanian masa kini, dia terus sahaja memulakan usaha di atas sekeping tanah seluas kira-kira 0.4 hektar (satu ekar) milik keluarganya di Jalan Ahmad Khushasi, Jenderam Hulu, Sepang, Selangor.

Pelaburan berbekalkan wang simpanan, Nabil membuat pelaburan awal sebanyak RM200,000 untuk membina tiga rumah cendawan bersaiz 70 kaki x 30 kaki pada awal tahun lalu dan menambah empat rumah lagi secara berperingkat-peringkat.

Beliau juga mengambil keputusan untuk menubuhkan syarikat khas, NAS Agro Farm pada Oktober tahun lalu untuk menjalankan operasi di kawasan tanah tersebut yang pada asalnya dusun buah-buahan.

Tanpa meninggalkan kerjayanya sebelum ini, beliau menambah pelbagai kemudahan dan kelengkapan sebagai bukti kesungguhannya untuk terbabit secara serius.

Nabil yang turut dibantu isterinya, Surina Saad, juga terpaksa menggaji tujuh pekerja termasuk seorang penyelia memandangkan tanaman cendawan memerlukan tumpuan dan kerja yang banyak.

Ketika ini, dengan pelaburan keseluruhan kira-kira RM400,000, kompleks tanaman cendawan tersebut telah dikembangkan operasinya dengan tujuh rumah cendawan yang memuatkan kira-kira 200,000 polibeg. Rumah itu dilengkapi sebuah bilik suntikan benih, rumah menyediakan polibeg dan alat pengukusan dan alat mencampur adunan substrat (media).

"Saya juga sedang menyiapkan sebuah makmal menghasilkan benih cendawan menggunakan teknik kultur tisu bagi mengatasi masalah pengusaha untuk mendapatkan benih yang baik,'' ujarnya.

Kelengkapan tersebut, kata beliau, dapat disediakan dengan bantuan peruntukan Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

Nabil menjelaskan, beliau akan memberi tumpuan kepada pengeluaran benih, sebagai satu cabang perniagaan baru dalam industri tanaman cendawan supaya pengusaha sedia ada mudah mendapatkan bekalan.

Bagaimanapun katanya, pengeluaran benih yang boleh dilaksanakan dalam tempoh terdekat hanya akan dikomersialkan seawal-awalnya enam bulan daripada sekarang.

Ini kerana, beliau perlu terlebih dahulu memastikan benih yang dihasilkan bermutu tinggi sebelum dipasarkan kepada pengusaha lain.

Mengenai kemungkinan beliau akan menambah kemudahan sedia ada untuk meningkatkan pengeluaran, Nabil berkata, meskipun permintaan terhadap cendawan amat tinggi, tumpuan perlu diberikan kepada tanaman sedia ada.

"Saya hanya mampu mengeluarkan 50 kilogram (kg) cendawan sehari sedangkan permintaan yang diterima sekurang-kurangnya 150 kg sehari dan kadangkala mencecah 200 kg,'' ujarnya.

Tambahnya, cendawan merupakan tanaman yang sensitif dan memerlukan kawasan bersih sepanjang masa.

Penggunaan bahan kimia perlu dielakkan sama sekali tetapi pada masa yang sama kawalan penyakit perlu beri keutamaan.

Katanya, penyakit utama cendawan ialah kulat hijau dan oren dan ia boleh dikesan dengan memerhatikan sebarang perubahan warna pada polibeg yang telah disuntik dengan benih.

Cendawan katanya, boleh mengeluarkan hasil selepas dua bulan disuntik dan kemudiannya dieramkan.
Sepanjang tempoh dua bulan setengah berikutnya, kutipan hasil boleh dilakukan enam atau tujuh kali.

Setiap cendawan yang dipetik pula dianggarkan mempunyai berat antara 80 dan 100 gram.

Pada masa ini, beliau memasarkan cendawan harga RM7 sekilogram dengan pembeli datang sendiri ke ladangnya untuk mendapatkan bekalan.

Beliau juga akan cuba mengusahakan tanaman cendawan spesies abalone dan telinga kera yang merupakan cendawan yang sedap dan kenyal.

Syarikat Nabil juga akan menawarkan kursus kepada mereka yang berminat mendapatkan pengetahuan mengenai aspek penanaman cendawan dan sebuah bangunan khas untuk tujuan itu sedang dibina.

Dalam pada itu, beliau juga memulakan usaha awal menternak cacing untuk menghasilkan baja kompos dengan memanfaatkan semula bahan substrat yang telah digunakan. Sebuah bangunan khas disediakan untuk tujuan itu.

Selepas lebih setahun beroperasi, usaha Nabil semakin menampakkan sinar yang diharapkan.
Tetapi bagi mereka yang berminat, dia sekali berpesan, supaya bertahan kerana cendawan bukan satu tanaman yang mudah diusahakan.

"Saya sendiri pernah dilanda pelbagai masalah terutama serangan penyakit yang memaksa polibeg yang mengandungi benih dimusnahkan selain serangan makhluk perosak,'' ujarnya.
Fakta cendawanlTidak mempunyai klorofil.

lMembiak melalui spora yang bercambah menjadi hyphae (mycelia apabila jumlahnya banyak) yang tidak nampak dengan mata kasar.

lHypahe yang bercambah membentuk primary mycelia dan kemudiannya secondary mycelia.
lMengumpul nutrien daripada substrat.

lBenih cendawan peringkat mycelia tumbuh atas substratnya sendiri seperti sekoi, barli gandum dan habuk kayu.

lCendawan yang popular ditanam ialah tiram kelabu (Pleurotus sajor-caju).

Cima Agro Tawar Perladangan Kontrak

SEBUAH syarikat berasaskan cendawan, Cima Agro Sdn. Bhd. menawarkan perladangan kontrak kepada mereka yang berminat mengusahakan tanaman tersebut bagi membantu dalam aspek pemasaran.

Syarikat terbabit, yang beroperasi di Kuala Selangor sejak 2002 menawarkan Skim Perladangan Kontrak tersebut bagi membantu mengatasi masalah pemasaran hasil cendawan kepada mereka yang kurang berpengalaman.

Cima Agro pada masa ini mampu mengeluarkan kira-kira 200 kilogram cendawan sehari dengan pasaran utama di pasar raya sekitar Lembah Klang.

Menurut pengarah syarikat, Mazlina Karim, disebabkan syarikatnya telah lama mengusahakan tanaman cendawan, beliau ingin melihat pengusaha lain berjaya dengan berkongsi pengalamannya.

‘‘Saya menawarkan skim perladangan kontrak sejak empat tahun dahulu kepada pengusaha-pengusaha kecil sebelum mereka mampu memasarkannya sendiri,’’ ujarnya.Beliau berkata, syarikatnya telah dianugerahkan Sijil Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) menawarkan pembelian semula hasil cendawan yang ditanam oleh peserta pada harga RM5 sekilogram.

Beliau juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan Bengkel Usahawan Cendawan Bersama Mega-Utusan Malaysia seperti yang telah dijalankan bersama pihak lain seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Agro Bank.

Menerusi bengkel tersebut beliau akan berusaha memberi banyak kelainan untuk peserta antaranya menawarkan Latihan Intensif dan Praktikal di ladang miliknya.

Ladang syarikat tersebut yang terletak di Jalan Haji Hashim, Bukit Belimbing, Kuala Selangor, berkeluasan satu setengah ekar dan mempunyai lapan buah rumah cendawan berukuran 20 kaki x 100 kaki.

Bagaimanapun, beliau lebih bersedia menerima mana-mana pemohon sekiranya mereka terletak tidak jauh dari lokasi syarikatnya.

Menerusi latihan tersebut, peserta dapat menghayati cara, masalah dan juga penyakit secara praktikal dan bukan hanya teori.

Selain itu, ujar Mazlina, syarikatnya juga mengadakan hari terbuka pada setiap Sabtu bermula pukul 3 petang bagi mereka yang berminat mendapatkan pengetahuan dalam aspek penanaman cendawan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Cima Agro di talian 03-32600211 atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di talian 019-3060847.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman blog www.cima-agro.blogspot.com.

Monday, August 18, 2008

Nilai Nutrisi Cendawan Bagi Tujuan Perubatan

JIKA dahulu tidak ramai yang menggemari cendawan kecuali mereka yang tinggal di pedalaman tetapi masakan cendawan kini semakin digemari dengan dihidangkan pelbagai jenis masakan.

Bagaimanapun, selain daripada rasanya yang sedap, tidak ramai daripada kita yang benar-benar mengetahui khasiat daripada tumbuhan ini terutama dari segi perubatan.

Berdasarkan kajian oleh Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), cendawan sememangnya mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan seperti :





Auricularia sp (Telinga kera /Jeli hitam)

Membantu merawat gangguan kardiovaskular dengan:

  • mencairkan darah beku.
  • mengawal atur tekanan darah.
  • merendahkan tahap kolestrol dan lipid.
  • agen antioksida, melindungi DNA.
  • membantu mengurangkan berat badan.

Schizophyllum commune (Cendawan kukur)

  • Mengandungi Schizophyllan iaitu bahan dalam ubat antitumor dan kanser.
  • Membantu meningkatkan sistem imuniti tubuh.
  • Anti radangan.
  • Anti bakteria.
  • Anti parasit.
  • Melindungi hati.

Lentinus edodes (Shiitake)

Mengandungi Lentinan iaitu bahan yang terdapat dalam ubat anti kanser. Ia juga digunakan sebagai terapi imuniti bagi kanser paru-paru, usus, serviks dan payu dara.

  • Dikatakan mampu membantu merencat pertumbuhan semula kanser.
  • Membantu meningkatkan sistem imuniti tubuh dengan merangsang limfosit dan makrofaj agen melawan bakteria, virus, sel tumor dan toksin.

Flammulina velutipes (Jarum emas)

  • Merupakan agen toksik kepada sel tumor.
  • Meningkatkan sistem imuniti tubuh serta menghalang jangkitan kulat dan virus.
  • Agen anti radangan.
  • Aktiviti pelindung gen - menghalang kerosakan DNA.

Agarcius braslllensis (Cendawan butang)

  • Membantu merencatkan pertumbuhan tumor.
  • Membantu mengawal atur tekanan darah.
  • Membantu Merawat gastrik.

Ganoderma sp. (Ling zhi)

  • Membantu menghalang dan merawat kanser.
  • Meningkatkan meningkatkan sistem imuniti dari segi;
  • Anti alahan,
  • Anti radangan,
  • Anti viral,
  • Anti bakteria dan,
  • Anti oksida.
  • Melegakan serta merawat paru-paru yang berpunca dari serangan lelah (asma) dan masalah pernafasan.
  • Melindungi hati dengan meningkatkan proses detosifikasi.

Hericum erinaceum (Cendawan bunga kubis)

Membantu merangsang faktor pertumbuhan saraf serta berpotensi untuk membantu merawat penyakit saraf seperti dementia, trauma saraf akibat strok dan juga penyakit Alzheimer.

  • Membantu menguatkan otot, gerakbalas motor dan fungsi kognitif.
  • Lektin - mampu membantu merencat pengumpulan darah merah.
  • Membantu merawat ulser perut.
  • Membantu meningkatkan sistem imuniti.

Pleurotus cystidiosus (abalone)

Pleurotus flabellatus (tiram merah jambu); Pleurotus citrinopileatus (tiram kuning); Pleurotus florida (tiram putih) dan

Pleurotus sajor-caju (tiram kelabu)

  • Mengawal atur darah, anti thrombotik, merendahkan tekanan darah, mengurangkan kandungan glukosa dan lipid.
  • Meningkatkan sistem imuniti bagi melawan jangkitan vierus dan bakteria.
  • Menghalang pertumbuhan tumor.
  • Agen anti oksida dan melindungi faktor genetik.

Sumber : Utusan Online

Gigih Tanam Cendawan


Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR

PEPATAH yang berbunyi ‘seperti cendawan tumbuh selepas hujan’, seakan-akan menjelaskan apa yang berlaku pada masa ini iaitu ramai individu mengusahakan tanaman cendawan tiram kelabu selepas kerajaan khususnya Jabatan Pertanian berusaha mempromosi tanaman tersebut.

Senario tersebut didorong oleh faktor permintaan yang kian meningkat serta mempunyai potensi pasaran tempatan dan antarabangsa yang begitu memberangsangkan terhadap cendawan spesies berkenaan.

Justeru, semakin ramai individu tempatan bertekad untuk menceburi serta mengusahakan tanaman tersebut dengan tujuan mencari pendapatan tambahan serta keuntungan yang boleh dikatakan agak lumayan.

Melihat kepada fenomena tersebut, seorang pegawai kerajaan, Saleha Mohamed, 47, tidak ketinggalan dalam mengambil inisiatif untuk bergiat serta mengusahakan perusahaan tersebut.

Dia yang berasal dari Kelantan, menjelaskan bahawa penglibatannya dalam penanaman cendawan itu disebabkan minat berniaga dan juga keperluan untuk memenuhi permintaan pasaran.

Semuanya bermula apabila beliau mengambil keputusan untuk berkongsi perniagaan tersebut bersama-sama anak saudaranya, Norazila Mohd Yusof, 28 yang kini masih menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).

Berbekalkan semangat yang berkobar-kobar dan modal sebanyak RM20,000, dia bersama-sama Norliza telah memulakan pengusahaan tersebut sejak tiga bulan lalu.

‘‘Dengan modal sebanyak itu, kami mampu menyewa dua buah lot kosong rumah kedai, membeli peralatan serta menghasilkan cendawan dan kini setelah tiga bulan berlalu, cendawan tiram kelabu kami telah mengeluarkan hasil yang memuaskan,’’ katanya ketika ditemui di rumah kedai yang dijadikan gudang cendawannya di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya lagi, dua buah lot rumah kedai itu yang mempunyai keluasan 20 kaki x 80 kaki tiap satu mampu menempatkan sebanyak 20,000 beg yang ditempatkan di atas rak yang disusun rapi.

Menerusi syarikat Setia Gading Enterprise yang dikendalikannya, Saleha bersama-sama dua orang pekerjanya mampu menghasilkan 40 kilogram (kg) sehingga 50 kg cendawan setiap hari.

Jelasnya lagi, secara purata, hasil tersebut merupakan cendawan yang dihasilkan daripada 1,000 beg yang sudah sampai tempoh matang. Dalam pada itu, Saleha turut menerangkan bagaimana proses tanaman cendawan tiram kelabu dilakukan.

Menurutnya, proses tanaman cendawan tiram kelabu, memerlukan penggunaan habuk kayu serta beberapa campuran lain termasuk kapur digunakan bagi dijadikan bahan asas. Seterusnya , kesemua bahan itu perlu digaul dan dicampur dengan air sebelum dimasukkan ke dalam beg plastik khas.

‘‘Selepas itu, beg plastik tersebut akan disuntik dengan benih cendawan dan diperam selama dua bulan.

‘‘Dalam masa itu, beg plastik tersebut akan bertukar menjadi warna putih dari masa ke semasa dan itu bermakna akar cendawan tersebut sedang tumbuh dalam beg tersebut,’’ ujarnya.
Selepas tempoh dua bulan, tutup beg plastik tersebut akan dibuka dan kemudian benih yang asal itu akan dibuang tetapi beg tersebut ditutup kembali dalam tempoh 10 hari.

Tambahnya, selepas 10 hari benih tersebut dibersihkan, tutup beg tersebut akan ditanggalkan dan setiap beg akan mula mengeluarkan hasil selepas empat ke lima hari benihnya dibuang.
Hasil yang dihasilkan itu kemudiannya sudah boleh dipetik dan dibungkus untuk dipasarkan. Buat masa ini, Saleha membekalkan cendawan-cendawannya kepada para peruncit dan pembekal cendawan kecil-kecilan di sekitar Rawang.

Selain itu, ditanya mengenai cabaran serta masalah yang dihadapi sepanjang mengusahakan penanaman cendawan itu, beliau menjelaskan bahawa cendawan tiram kelabu atau nama saintifiknya Pleurotus sajor-caju merupakan spesies yang sangat sensitif.

‘‘Bagi mendapatkan hasil yang baik, soal kebersihan perlu diutamakan. Ini kerana persekitaran yang kotor akan mempengaruhi udara, sekali gus akan mendatangkan penyakit kepada cendawan.


‘‘Bagaimanapun, penyakit ‘hijau’ merupakan masalah yang sering dihadapi oleh para pengusaha cendawan masa kini, selain serangan serangga seperti ulat dan lain-lain lagi,’’ katanya.
Tambah Saleha, bagi menangani perkara ini, persekitaran hendaklah dijaga dengan rapi. Semburan racun serangga perosak dilakukan dengan berhati-hati agar beg cendawan tidak terdedah kepada semburan ini.

Saleha turut mengakui bahawa risiko kerosakan cendawan juga agak tinggi. Antara 10 hingga 20 peratus beg cendawan akan mengalami kerosakan. Pada masa yang sama, Saleha turut memberitahu bahawa benih yang baik juga menjadi salah satu faktor yang mampu mempengaruhi produktiviti.
Buat masa ini, bagi menampung keperluan mendapatkan bekalan benih cendawan yang baik dan bermutu tinggi, Saleha telah mengadakan perbincangan antar pengusaha tiram kelabu di selatan Thailand.


Menurutnya, beberapa orang pengusaha di negara itu sedang berusaha mendapatkan kelulusan pihak tertentu di negara ini untuk membawa masuk benih yang baik bagi diedarkan di negara ini.

Lebih menarik, benih yang digunakan di Thailand itu mampu menghasilkan cendawan hanya dalam tempoh 28 hari berbanding pada kebiasaannya, ia memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan setengah bagi mendapatkan hasil.


Saleha berharap agar sesiapa yang berhasrat untuk mendapatkan cendawan miliknya atau memasarkannya agar menghubungi di talian 019-2199180 atau suaminya Safri Ali di talian 017-3953654 atau berkunjung ke lot kedainya di alamat G23, Jln Kasturi 1B, Bukit Sentosa.

Bagaimana Menangani Masalah Kulat Hijau


Pertama Beg media terlalu basah. Kandungan air semasa membancuh terlebih. Bila media terlalu basah biasanya pembiakan kulat hijau cepat terjadi. Terutamanya selepas tuaian pertama dan kedua. Bila kita buka penutup rehat beg media lebih terdedah kepada persekitaran, maka kulat ini mudah menyerang.

Kurangkan air semasa membancuh media. Bagi beg media saiz standard pastikan berat beg media antara 800g ke 1kg sahaja. Jika lebih dari 1kg bermakna kandungan air sudah terlebih
Kedua Benih yang digunakan. Disebabkan benih yang digunakan tidak berkualiti. Benih boleh ditransfer sehingga 8 kali (8 generasi). Generasi ke 4 dan ke atas biasanya kurang daya tahan kepada penyakit. Benih yang baik adalah adalah benih yang melalui proses tisu kultur iaitu generasi pertama dan benih hasil transfer dari benih yang pertama hingga yg ke 3 sahaja.

Gunakan benih dari pengusaha yang sudah establish sahaja. Cara yang paling mudah ialah dengan membuat sedikit eksperimen iaitu gunakan benih daripada pengeluar yang berlainan dan lihatlah hasilnya. Dapatkan sebanyak mungkin maklumat mengenai benih tersebut dan kemudian barulah putuskan mana satu pembekal benih yang akan dipilih.

Ketiga Beg media belum cukup matang. Bila maisilium sudah memenuhi beg media, tidak bermakna ianya sudah matang. Memanglah maisilium akan menguasai luas permukaan beg media dalam 2 bulan. Tetapi tempoh tersebut maisilium tidak cukup matang.

Mengikut kaedah pengusaha yang berpengalaman, biarkan beg media selama 3 bulan, barulah buka penutup eram untuk tuaian pertama. Ini adalah untuk memastikan maisilium cukup kuat dan ianya betul-betul menguasai keseluruhan beg media dan menghalang kulat lain bersaing dengannya. Bak kata pepatah, biar lambat asal selamat.

Keempat Bawaan seranggan kumbang atau bari-bari. Bila serangga ini berpindah dari beg yang sudah dijangkati kulat hijau, kemudian ia terbang dan memasuki mulut beg media lain, kulat hijau ini akan berjangkit ke beg media yg lain pula.

Jika anda mengalami masalah kumbang yang serius. Kuarantin rumah cendawan anda selama seminggu. Tutup semua beg media dengan penutup rehat. Kemudian spray rumah cendawan dan beg media dengan racun serangga agar kumbang dan bari2 tersebut mati. Sebelum buka semula penutup rehat basuh rumah cendawan dan semburkan air ke beg media agar rasa dan bau racun serangga tersebut hilang. Kalau tak takut cendawan yang keluar ada bau racun serangga.

Kelima Bahan dedak yang digunakan. Jika dedak padi, kadar kulat hijau memang tinggi berbanding dedak gandum. Jika terkena kulat hitam atau kulat hijau adalah lebih baik asingkan beg tersebut dan buatkan banyak lubang supaya banyak cendawan akan keluar dan ini akan membantu tingkatkan kg cendawan. Walaupun umur beg tak panjang, sekurang-kurangnya kos belian beg dapat semula. Jika kena kulat hijau dan kulat hitam memang tiada rawatan. Cuma guna saja kaedah di atas supaya dapat balik kos belian tu.

Keenam Penjagaan kebersihan. Cara yang paling efektif untuk mengelakkan jangkitan atau sekurang-kurangnya meminimumkan jangkitan kulat hijau ialah dengan mensterilkan alat yang digunakan semasa mengorek keluar sisa akar cendawan. Gunakan larutan dettol, clorox atau EM sebagai bahan steril dan setiap kali beg dikorek, pastikan ia dicelup terlebih dahulu di dalam larutan tersebut. Kebersihan amat penting dan perlu dititik beratkan.

Kesimpulannya, banyak faktor terjadinya serangan kulat hijau dan kaedah pencegahan serta penjagaan kebersihan memainkan peranan utama agar kerosakan dan kerugian daripada penyakit ini dapat dikurangkan seminimum mungkin.

Sumber : http://www.cendawanglobal.blogspot.com/

Gu Kulat Kelate

Sunday, August 17, 2008

Cendawan Celup Tepung


Jenis Sukatan
1 portion = 1 bahagian = 1 mug

Bahan - bahan
- Cendawan tiram kelabu (500gm - 750gm)
- Tepung Gandum (1 portion) - Tepung gandum ni menentukan tebal atau nipisnya salutan tepung goreng. Kalau nak lebih “berisi” bolehlah lebihkan portion dia.
- Tepung Beras (1 portion) - Tepung beras ni memberikan rasa “keras” untuk membuat kerak. Kalau suka kerak dia keras sikit, korang tambahlah portion dia ikut suka koranglah.
- Tepung Jagung (1 portion) - Tepung jagung memberi kesan rangup. Kalau terlebih akan menyerap banyak minyak.
- Telur Ayam (1 biji) - Telur ayam ni memberikan efek "soft". Tapi kalau lebih akan serap minyak.
- Serbuk Kunyit (1 sudu) - Sekadar memberi warna kuning, biar nanti goreng kaler dia nampak golden brown.
- Air Kapur (2 sudu besar) - Petua orang tua, supaya lebih rangup. Kalau tak nak letak pun takper.
- Air
- Garam

Cara - cara
1) Minyak mestilah banyak dan pastikan minyak betul - betul panas barulah masukkan cendawan yang telah dicelup ke dalam adunan tepung itu tadi.
2) Setelah warnanya bertukar menjadi golden brown, bolehlah diangkat. Pastikan bahawa tepung tersebut telah masak.

Tips
- Jangan sesekali mencuci atau membasuh cendawan tiram. Cukuplah sekadar mengibas - ngibas untuk membuang habuk yang melekat.
- Tidak perlu dikhuatiri tentang kebersihannya sebab proses penanamannya sendiri memang cukup bersih. Cendawan tidak akan tumbuhan jika penanamannya tidak bersih kerana ianya amat sensitif terhadap kebersihan.
- Jika cendawan itu dicuci, ianya akan meresap air tersebut. Bila digoreng, dalaman cendawan akan tetap basah disebabkan air cucian tadi. Tepung tidak akan dapat meresap masuk kedalam liang - liang cendawan tersebut. Ini menyebabkan rasa menjadi kurang enak dan cendawan menjadi lembik.
- Jika ingin dimasukkan ke dalam sup, seeloknya tidak dibersihkan juga kerana air sup itu tidak akan menyerap ke dalam cendawan tersebut. Ini kerana ia masih tetap menahan air cucian tadi.
- Oleh itu, janganlah di cuci cendawan tiram jika mahu di masak ataupun di goreng.

Cendawan Tiram Goreng Kunyit

Bahan - bahan
- Cendawan tiram
- Garam
- Kunyit
- Minyak
- Bawang (Dihiris)
- Cili Api
Cara - cara

1) Cendawan tiram kelabu digaul bersama kunyit dan garam.


2) Goreng sehingga masak dan masukkan cili api dan bawang yang telah dihiris.


3) Siap untuk dihidang.


Sup Kulat Kelate


Bahan-bahan ( 3 orang )
- 200g Cendawan Tiram
- 1 Labu Bawang Besar
- 1 Ulas Bawang Putih
- 1 Biji Lada Merah
- 1 helai Daun Kunyit
- 10 Ekor Ikan Bilis (Di belah 2)
- 700ml Air
- Minyak masak untuk menumis
- Garam secukup rasa

Cara-cara
1) Belah cendawan (Saiz terpulang)
2) Cuci & toskan airnya. (Dimayang)
3) Panaskan minyak dalam periuk kemudian tumis ikan bilis,bahan2 dan daun kunyit.
4) Setelah naik bau, masukkan air.
5) Biarkan air mendidih dahulu, setelah itu barulah masukkan cendawan dan garam secukup rasa.
6) Lebih kurang 2 minit bolehlah mematikan api.

Nasi Goreng Cendawan


Bahan-bahan ( 1 orang )
- 1/4 bj bwg besar dan 2 bj bwg putih (Dihiris)
- 4 kpg cendawan dipotong
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar kicap manis (Secukup rasa)
- 1 pinggan nasi putih
- 1 bj telur
- Lada sulah dan garam secukup rasa
- Minyak utk menumis
- Lebih kurang segenggam udang atau 1 potong ayam dipotong dadu
- Cili api ( dipotong bulat)

Cara-cara
1) Tumis kedua2 jenis bawang. Bila dah garing, masukkn udang(atau ayam) dan gorengkan lagi selama beberapa minit.
2) Masukkan sos tiram dan cendawan. Kacau lagi dan masukkan kicap dan cili api.
3) Masukkan telur, kacau utk ratakan telur dan masukkan nasi.
4) Lengkapkn rasa dengan lada sulah dan garam. Padamkn api dan hidang segera.

Cendawan Agriway



Bahan-bahan ( 2 orang )
- Cendawan Agriway (1 peket)
- Bawang putih dan merah (Dimayang)
- Sedikit minyak untuk menumis
- 3 biji cili padi (Dipotong kecil2)
- Kiub Ayam Maggi
- Sedikit sos ikan

Cara-cara
1) Minyak dipanaskan dan masukkan bawang yang telah dimayang tu.
2) Setelah agak kuning masukkan 2 cawan air dan biarkan ianya gelegak.
3) Lepas tu boleh masukkan cili yang dipotong kecil2 tu.
4) Masukkan sedikit kiub ayam maggi tu.
5) Lepas tu boleh la masukkan cendawan yang dah dipotong tu. Untuk sedapkan lagi boleh juga titiskan sedikit sos ikan. Tambah garam sedikit.
6) 5 minit dah boleh angkat dan hidang.
Jangan tak Cuba!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Sunday, August 10, 2008

Kontek Kami


NAMA :
AGRIWAY NETWORK SDN BHD
NO TEL :
019-973 7799
EMAIL :
CALLSIGN :
9W2HBO
ALAMAT :
LOT 1877, KG. BANGGOL LEPAH
MUKIM KETEREH TIMUR, KETEREH
16450 KOTA BHARU, KELANTAN.

Pakej Tanaman Kontrak

































Nama Penuh :




No KP :




Email :




No Telefon :




Alamat Rumah :









form creator

Recent Posts